Saturday, April 21, 2012

Student Life







"..dunia hari ini dalam usaha melahirkan sebilangan besar robot atau mayat hidup." Ikuti penulisan ini. =)

Isu pendidikan bukanlah isu enteng yang boleh dipandang sebelah mata. Isu pendidikan merupakan isu tunjang dalam membina tamadun sesebuah masyarakat. Ia merupakan isu yang disepakati oleh semua pihak, walaupun di sana terdapat jurang pemisah lantaran perbezaan yang pelbagai. Justeru kita tidak dapat menafikan kepentingan dunia pendidikan, sama ada di negara maju atau negara membangun.


Saban tahun, negara kita khususnya melahirkan sejumlah pelajar yang mencapai nilaian gred tertentu dalam peperiksaan di setiap peringkat. Melalui pencapaian gred ini, setiap pelajar diklasifikasikan mengikut tahap. Mereka yang mencapai gred tertinggi akan dipandang sebagai pelajar cemerlang. Hakikatnya ia hanyalah sebuah nilaian di atas kertas dan tidak menjamin apa-apa maksud sekitar matlamat dasar sesebuah pendidikan.


Melihat perkemabangan institusi pendidikan tanah air, ternyata matlamat untuk melahirkan sebuah masyarakat yang bersatu padu dan berdisiplin tidak mampu dicapai. Ini kerana pendidikan hari ini hanya menjurus ke arah kecemerlangan untuk mendapatkan sebuah sijil, bukan untuk melahirkan seorang manusia. Justeru apa yang lebih membimbangkan ialah dunia pendidikan hari ini dipolitikkan untuk kepentingan tertentu. Akibatnya, segala usaha untuk mengeluarkan masyarakat dari dunia pembodohan tidak mampu dilakukan secara komprehensif.


3 Idiots dan Mayat Hidup



Ketika penulis berjaya mendapatkan segulung diploma, penulis tersentak dengan sebuah penulisan ringkas daripada seorang sahabat dan menginsafi bahawa dunia pendidikan hari ini tidak ubah seperti melahirkan mayat hidup. Mungkin istilah yang lebih sopan untuk digunakan ialah, dunia pendidikan hari ini hanya mampu melahirkan manusia berjiwa robot. Terdapat beberapa asas yang perlu diketahui oleh masyarakat bahawa dunia hari ini, khususnya Malaysia memiliki sejumlah bilangan robot yang tidak terkira banyaknya.


Mungkin sahaja kita pernah menonton sebuah filem berjudul “3 Idiots”. Filem tersebut mengisahkan realiti dunia pendidikan hari ini. Asas pertama yang perlu difahami ialah, kebanyakan pelajar hanya berusaha dalam pelajaran untuk mendapatkan sebuah penghargaan dalam bentuk sijil. Dan ia hanya ditulis dalam sehelai kertas. Sama ada tenaga pendidik mahupun yang dididik, semuanya bertumpu ke arah mendapatkan sebuah sijil.

Sudut positif yang boleh dilihat ialah pelajar akan bertungkus lumus dalam pembelajaran. Namun sudut negatif yang perlu diketahui, pelajar hanya terdidik untuk mengukur kecemerlangan mereka melalui sijil. Sedangkan tahap IQ manusia sudah pasti berbeza antara satu dengan yang lain. Kesannya, yang berjaya akan gembira sedangkan yang tidak berjaya akan berhadapan dengan perang perasaan yang boleh membawa kepada hilangnya kewarasan akal. Akibatnya, saban tahun kita akan mendengar kes bunuh diri berpunca dari kegagalan dalam peperiksaan. Hal ini terjadi kerana kita hanya mengukur kecemrlangan seseorang pada nialaian gred di atas sehelai kertas.


Asas kedua yang perlu difahami ialah, dunia pendidikan hari ini tidak mampu melahirkan sebilangan besar pelajar (baca : masyarakat) yang berfikiran kritis. Perlu untuk kita fahami bahawa berfikiran kritis itu adalah anjuran di dalam Islam dan ia merupakan salah satu daripada cirri-ciri generasi ulul albab. Ulul albab seperti yang ditafsirkan oleh para ulama’ ialah mereka yang memiliki akal yang sihat dan waras (ashabul ‘uqul). Dalam membahas aspek ulul albab ini, suka untuk penulis mendatangkan pandangan Syeikh Wahbah az-Zuhaili. Beliau menjelaskan bahawa untuk tergolong ke dalam generasi ulul albab perlu memiliki tiga senjata utama iaitu Al-Quran, ilmu dan kefahaman.


Mengapa penulis mengatakan bahawa dunia pendidikan hari ini tidak mampu melahirkan sebilangan besar masyarakat yang berfikiran kritis? Realiti yang didatangkan dalam filem tersebut ialah, segala yang datang daripada guru dan apa yang terkandung di dalam kitab tidak boleh dipersoal. Nah, itu adalah reality hari ini! Masyarakat hari ini dilarang sama sekali untuk mempersoal sesuatu perkara yang datang kepadanya, sama ada ia berbentuk ilmu pengetahuan mahupun isu semasa ataupun bentuk kefahaman dalam sesuatu perkara. Sedangkan soalan itu merupakan kunci pencarian, dan kebenaran itu mesti dicari!


Asas yang ketiga melalui filem tersebut ialah sebilangan besar masyarakat terdidik dengan sikap mengahafaz tanpa memahami. Analoginya seperti seekor burung kakak tua apabila diajar untuk berkata “selamat pagi”, maka ia akan berkata sedemikian tanpa memahami apa yg dituturkannya. Inilah realiti di dalam dunia pendidikan hari ini. ia merupakan asas yang berkait dengan asas sebelumnya. Bukanlah bermaksud untuk mengenepikan aspek hafazan, namun perlu untuk kita sedar bahawa di sana terdapat aspek yang lebih penting sebelum kita menghafaz.


Melihat kepada tiga asas penting dalam filem tersebut, maka kita tidak menafikan bahawa dunia hari ini dalam usaha melahirkan sebilangan besar robot atau mayat hidup. Mereka hanya boleh diprogramkan, namun belum pasti mereka mampu memberi manfaat yang besar kepada umat sejagat. Dan lebih malang lagi apabila generasi terdidik ini turut bersekongkol dengan dunia gelap atau lebih dikenali dengan dunia jenayah.


Memanusiakan Manusia


Seperti yang dijelaskan penulis, sistem pendidikan hari ini mempunyai kecacatan dan ketempangan dalam melahirkan insan yang berjiawa manusia. Kadar indeks jenayah yang dicatat setiap tahun tidak pernah menunjukkan bahawa ia akan mengalami kemerosotan serius. Tidak dinafikan indeks jenayah telah mencatatkan penurunan sebanyak 11.1 peratus namun ia masih lagi berada di tahap yang membimbangkan. Dan secara purata, jenayah yang berlaku melibatkan para belia remaja.

Jika dilihat kepada dasar pendidikan negara, ia bertujuan untuk melahirkan masyarakat yang bersatu padu dan berdisiplin serta memenuhi keperluan tenaga rakyat yang terlatih bagi pembangunan negara. Dalam erti kata lain, ia bertujuan mewujudkan manusia yang mampu menyumbang dalam mewujudkan sebuah negara yang progresif. Dan jika dilihat pada objektifnya yang lain sudah cukup untuk menerangkan hasrat pendidikan negara adalah untuk melahirkan individu yang berjiwa manusia. Tetapi, sebaliknya berlaku. Di manakah silapnya?


Melihat kepada sistem pendidikan hari ini yang hanya berorientasikan peperiksaan, maka sudah tentu kehendak seseorang untuk mendalami sesebuah ilmu bukan bertujuan untuk mengenali siapa Tuhannya, akan tetapi bertujuan untuk memperoleh apa yang dihajatinya. Maka tidak hairan jika kita mendengar pelbagai kes jenayah yang melibatkan masyarakat yang terdidik kononnya semakin meruncing. Oleh itu, adalah perlu untuk kerajaan merejuvinasi sistem pendidikan negara supaya berlakunya intergrasi antara aspek duniawi dan ukhrawi. Bahkan perkara ini perlu dikempen secara meluas kepada rakyat memandangkan hampir seluruh negara di dalam dunia ini mengguna pakai konsep demokrasi dalam dunia politik.


Pendidikan yang sepatutnya bukanlah hanya bertujuan untuk memenuhi keperluan tenaga yang berkemahiran dalam membina sebuah negara yang progresif, bahkan ia lebih luas. Sesebuah dasar yang tidak digabung jalin dengan soal untuk mengenali siapa Pencipta manusia sudah cukup untuk melahirkan individu yang berpendidikan tetapi tidak berjiwa manusia. Kerana itu di dalam Islam, aspek mengenali Tuhan sangat diberi penekanan. Dan secara pasti ia perlu diberi keutamaan untuk mendepani dunia global tanpa sempadan.

No comments: